Anak Rumbai Terpaksa Hari Raya di Singapura

Selasa, 26 Mei 2020

Oleh: NURULKHASANAH AGOST

SINGAPURA: Selama 10 tahun, sepasang suami isteri dari Indonesia dan Filipina ini tidak pernah terlepas balik kampung bila tiba Hari Raya.

Kedua-duanya bekerja di Singapura dalam bidang IT sejak sekitar setahun lalu dan sebenarnya sudah merancang untuk menyambut Aidilfitri di negara kelahiran masing-masing. Namun apakan daya disebabkan COVID-19, ketiga-tiga negara - Singapura, Indonesia dan Filipina - kini mempunyai sekatan perjalanan dan pergerakan masing-masing.

Jadi, mereka tersangkut dan buat pertama kalinya terpaksa ber-Lebaran di Singapura.

Bagaimanapun ini tidak bermakna mereka 'terpisah mutlak' daripada kampung halaman masing-masing. Sebaliknya, Encik Carim Jr Panumpang, seorang rakyat Filipina dan isterinya Cik Citra Ayu Adhi Nugraha, warga negara Indonesia, 'mengimport' suasana beraya di negara masing-masing ke Singapura demi menghidupkan lagi Aidilfitri mereka.

Pertama sekali dengan memasak dua juadah istimewa negara asal mereka - iaitu Gulai Nangka Padang dari Indonesia dan Ayam Piaparan dari Filipina.

Apabila dihubungi BERITAmediacorp, Encik Carim dan Cik Citra Ayu riang menjelaskan bahawa juadah Lebaran mereka, seolah-olah ia 'membawa mereka beraya' di kampung halaman masing-masing sekaligus mengubat rasa rindu.

AYAM PIAPARAN SERUPA TAPI TAK SAMA DENGAN RENDANG

Menariknya, terdapat sedikit persamaan lauk-pauk tersebut dengan tradisi rendang dan lontong di Singapura.

Khususnya lauk Ayam Piaparan, ia jenis kering tidak berkuah dan boleh dimakan dengan lontong atau ketupat.

"Kita gunakan santan untuk menggoreng ayam. Rasanya macam Rendang tetapi warnanya kuning," jelas Cik Ayu tentang Ayam Piaparan dari Filipina.

Encik Carim menambah: "Jika anda di Filipina anda mungkin akan kerap memakannya kerana ia hidangan lazim. Jadi disebabkan mahu berasa seperti di negara sendirilah kami memakannya dan Ayu juga masak lontong. Itu adalah hidangan 'wajib' semasa Aidilfitri."

Seperti ramai orang, pasangan itu juga tidak ketinggalan menghias rumah mereka supaya dapat membangkitkan lagi suasana Aidilfitri.

Sedang Cik Ayu sibuk memasak di dapur, Encik Carim pula sibuk memastikan rumah mereka di Paya Lebar berseri-seri.

MAKAN SECARA 'BERSEMUKA' DARI 3 NEGARA BERBEZA

Sekalipun demikian, Cik Ayu mengaku beliau "agak sedih" kerana tidak dapat meneruskan tradisi 'pulang kampung' yang mereka amalkan sejak sedekad lalu bekerja di perantauan. Sebelum ini, mereka bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, Malaysia.

Lebih-lebih lagi kerana mereka jarang pulang dan amat menanti-nantikan Hari Raya untuk kembali menjalin silaturahim.

Encik Carim berasal dari Tugaya, Lanao Del Sur Filipina manakala isterinya berasal dari Rumbai, Pekanbaru Indonesia.

"Sedih kerana tak dapat berkumpul dengan keluarga di Indonesia dan di Filipina juga kerana kita selalu balik waktu Lebaran. Kerana kita tidak begitu sering pulang ke Indonesia ataupun Filipina. Mungkin sekitar 2 kali dalam setahun," Cik Ayu memberitahu BERITAmediacorp.

Lantaran itu, seusai solat Hari Raya semalam (24 Mei), pasangan itu melakukan satu lagi ikhtiar penting untuk mengembalikan suasana beraya di kampung.

Iaitu, makan secara bersemuka secara maya atau 'virtual' walaupun mereka semua berada di tiga negara berbeza!

"Ia (panggilan video) seperti nadi perayaan ini," ujar Encik Casim.

"Selepas kita melakukan panggilan video dan makan sarapan dengan keluarga, boleh merasakan apa yang selalu kita lakukan di Indonesia ataupun di Filipina," sambung Cik Ayu.

Pastinya, rindu yang terbuku di hati terubat di lubuk hati masing-masing setelah melihat senyum tawa anggota keluarga tercinta.

Memang tiada rotan akar pun berguna juga. Namun demikian, rotan tetap rotan dan akar tetap akar.

"Kita memang boleh menghubungi mereka melalui panggilan telefon. Tetapi biasanya kita memerlukan sentuhan fizikal (semasa bersalaman dan bermaafan)," akui Encik Carim.
(MediaCorp)